14 Jan 2016

Memahami Sejarah Singapura

Judul: Singapore’s Heritage Through Places of Historical Interest
Penulis: Dhoraisingam S. Samuel
Tahun: 2010 (edisi diperbahurui)
Harga Pasaran: US$28 (RM123)
Harga Istimewa: RM100 (sehingga 14 Februari 2016)

Walaupun Singapura gah sebagai sebuah negara maju, republik itu tidak mengabaikan aspek pemeliharaan bangunan warisan dan monumen bersejarah untuk tatapan generasi akan datang.

Setiap bangunan dan monumen itu pasti ada cerita tersendiri yang mungkin kurang diketahui umum.

Bagi mengisi kekosongan ilmu dan pengetahuan itu, buku Singapore’s Heritage Through Places of Historical Interest (2010) tampil dalam edisi diperbahurui daripada edisi sulung yang terbit pada 1991.

Penulisnya, Dhoraisingam S. Samuel seorang pengkaji dan bekas pendidik yang sering menjadi pensyarah undangan di pelbagai institusi pengajian di republik berkenaan sejak bersara pada 1985.

Saya mengenali beliau sejak 2005 dan kagum dengan buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka (2006) iaitu satu-satunya bahan dokumentasi menyeluruh berkaitan sejarah, budaya, adat dan kehidupan masyarakat Chetti di Melaka.

Dhoraisingam turut menulis Tan Tock Seng: His Life, Times, Contributions and Legacy (2003) dan Working for Dr Goh Keng Swee (2011).

Kredibiliti Dhoraisingam dalam menulis buku-buku berasaskan sejarah dan fakta memang sudah diperakui pencinta ilmu di Singapura.

Sejarahwan yang disegani ini bekas presiden Persatuan Sejarah Singapura dan bekas ahli Lembaga Pengarah Muzium Sejarah Singapura.

Sejak saya mengenali beliau pada tahun 2005, beliau sentiasa sibuk membaca, membuat kajian, mencari bahan, membuat catatan dan menulis pelbagai buku dan manuskrip.

Gaya penulisan yang digunakan Dhoraisingam dalam buku Singapore’s Heritage amat mudah, bersahaja, senang difahami dan hidup (lively) sewaktu mengulas tentang sekitar 180 monumen bersejarah.

Apabila membaca kandungan buku ini, kita akan kembali sedar setiap bangunan dan monumen ada cerita tersendiri – gembira, sedih atau penuh misteri.

Chinatown diasaskan Stamford Raffles pada 1822 dan menjadi pusat bagi imigran Cina. Dhoraisingam menyentuh mengenai keperitan hidup kaum Cina pada masa itu; serta semangat mereka mahu terus memelihara budaya dan tradisi nenek-moyang.

Patung tembaga seekor gajah yang kini terletak di Rumah Parlimen, pada asalnya diletakkan di Dewan Memorial Victoria. Kisah asal-usul serta persitiwa yang membawa kepada perpindahannya diceritakan di dalam buku ini.

Kuil Sri Mariamman merupakan rumah ibadat Hindu tertua di Singapura. Pengasasnya Naraina Pillay, seorang kerani kerajaan di Pulau Pinang. Kisah menarik mengenai sumbangannya diceritakan dengan penuh fakta oleh Dhoraisingam.

Keramat Iskandar Shah, kubur Kristian tertua, Masjid Sultan, Tokong Thian Hock Keng, Masjid Nagore Durgha, Kampung Bugis dan Stesen Jinriksha diceritakan secara menarik dan disertakan foto.

Kisah sejarah dan keunikan Pawagam Majestic, Kelab Kriket Singapura, Dhoby Ghaut, Gurdwara Jalan Silat, Gereja St Joseph, Madrasah Alsagoff, Sekolah Tamil Sarada Devi, dan Jalan Kadayanullur turut dihuraikan.

Tentu sahaja buku ini sesuai dibaca oleh khalayak pelbagai umur kerana setiap halaman mengandungi maklumat dan fakta yang mungkin tidak ditemui di tempat lain.

Buku ini bukan hanya sesuai bagi penduduk Singapura atau sesiapa yang pernah berkunjung ke republik berkenaan.

Sebaliknya, para pencinta sejarah dan warisan di Malaysia wajar memiliki dan menelaah buku Bahasa Inggeris ini untuk belajar sesuatu daripadanya.

Sekurang-kurangnya akan timbul minat dan kesedaran untuk menulis buku mengenai bangunan dan monumen bersejarah di Malaysia secara tulus ikhlas sebelum kesemuanya dimusnahkan sedikit demi sedikit oleh politikus atas nama pembangunan.

Harga pasaran buku ini US$28 (RM123) tetapi sekiranya sesiapa berminat membeli [sebelum 14 Februari 2016], saya ada stok buku ini yang ditandatangani Dhoraisingam untuk dijual pada harga RM100 senaskhah.

(Ulasan buku ini ditulis pada 9 Januari 2016 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 Januari 2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Lebih banyak ulasan buku – DI SINI)