26 Jan 2016

PIBG Bidas Sikap Hipokrit Guru SJKT

Pencinta Bahasa Tamil dan ibu bapa sekitar Chaah, Johor menyelar tindakan sebahagian guru besar dan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan.

Akhbar Malaysia Nanban pada 24 Januari 2016 melaporkan kenyataan yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Chaan, Gunasegaran menyelar sikap hipokrit itu.

“Dalam pada akhbar dan stesen radio Tamil menjalankan kempen memujuk ibu bapa menghantar anak-anak ke SJKT, ibu bapa di sekitar Chaah marah dengan sikap sejumlah guru besar dan guru SJKT yang menghantar anak-anak ke sekolah lain,” akhbar Tamil itu melaporkan.

Menurut Gunasegaran, apabila PIBG membuat kempen dalam kalangan kaum India di kawasan berkenaan, ibu bapa mengemukakan bukti menunjukkan kepincangan yang berlaku.

“Apakah guru besar dan guru-guru SJKT tidak yakin pada sekolah Tamil? Atau mereka tidak lagi yakin pada sistem pendidikan di SJKT?” Gunasegaran bertanya.

Katanya, guru besar dan guru-guru sekolah Tamil yang bersikap hipokrit dengan tidak menghantar anak-anak ke SJKT wajar melepaskan jawatan.

Pada 12 Januari 2016, menerusi makalah bertajuk “Persoalan kempen SJKT Pilihan Kita” saya mengemukakan 10 isu yang perlu diberi perhatian oleh pendukung kempen berkenaan.

Pendedahan itu menyebabkan akhbar Tamil Nesan menerusi berita di muka depan pada 13 Januari 2016 melabel saya sebagai “pengkhianat” serta berpendirian laporan polis perlu dibuat segera dan saya perlu dihadapkan ke mahkamah.

“Kami menyeru pencinta Bahasa Tamil di seluruh negara membuat laporan polis terhadap pengkhianat ini,” kata Tamil Nesan – BERITA PENUH DI SINI.

Akhbar Malaysia Nanban pada 19 Januari 2016 menyiarkan laporan khas mengutuk keberanian saya mendedahkan kepincangan SJKT kepada umum.

Saya dikatakan tidak berhak berbuat demikian kerana bukan keturunan Tamil, bahasa ibunda saya bukan Tamil dan saya bukan lepasan SJKT.

Laman Thendral Media pada 14 Januari 2016 memetik Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, tidak ada satu pun kes seperti didedahkan menerusi makalah saya berlaku di SJKT – Rujuk “Isu SJKT dan Masalah Kamar Gema” (The Malaysian Insider, 19 Januari 2016).

Pesara guru, V K Ezhilarasi menerusi rencana “Terima hakikat kelemahan SJKT” (The Malaysian Insider, 25 Januari 2016) berpendirian bahawa 10 persoalan yang dikemukakan dalam makalah saya amat berasas dan perlu diberi perhatian serius.

Terdahulu, penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil, Dr NS Rajendran menerusi Berita Daily pada 22 Januari 2016 menyifatkan penulisan saya berat sebelah dan hujah saya tidak diperkukuhkan dengan bukti – Rujuk “Kenapa Tidak Uthaya Jumpa Kami?

Baca “Maklum Balas Isu SJKT” untuk maklumat lanjut dan kemukakan pandangan menggunakan borang yang disediakan.